HULU TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak akan menaikkan harga tiket perlawanan Liga Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata harga tiket perlawanan akan dikekalkan pada harga RM15 untuk tempat duduk terbuka dan RM25 untuk tempat duduk berbumbung.
"GST sebanyak 6 peratus yang dikenakan akan ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu serta PBSNT," katanya kepada pemberita sempena Majlis Penyampaian Bantuan Ihsan Mangsa Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di sini hari ini.
Rozi, yang juga anggota DUN Telemong, berkata pemahaman secara menyeluruh mengenai pelaksanaan GST perlu dibuat hingga ke peringkat akar umbi kerana kebanyakan rakyat masih tidak memahami tentang sistem percukaian baharu itu yang dilaksanakan mulai 1 April ini.
Pada majlis tersebut, sebanyak 941 mangsa banjir dari 27 kampung di DUN Telemong menerima bantuan RM1,000 seorang iaitu RM500 dari kerajaan pusat dan RM500 dari kerajaan negeri. - BERNAMA
Tiada ulasan: