MANUSIA terpantas di dunia, Usain Bolt melahirkan rasa kecewanya selepas Persekutuan Olahraga Dunia memendekkan hukuman gantung ke atas seorang lagi bekas pemegang rekod dunia 100 meter Tyson Gay baru-baru ini.
Malah Bolt memberi amaran yang dia tidak akan mengambil bahagian dalam mana-mana acara yang bakal disertai oleh Gay pada masa depan.
"Dia patutnya diberikan hukuman yang lebih berat dan panjang bukan dengan memendekkan hukuman gantung itu," ujar Bolt.
Bolt menyifatkan keputusan tersebut sebagai yang paling bodoh yang pernah dia dengar dalam dunia olahraga.
Hukuman gantung ke atas Gay telah dipendekkan kepada setahun sahaja selepas pelari itu bersedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dalam isu doping.
"Saya pernah menghormati pelari Amerika itu tetapi dia telah menghampakan saya dengan mengambil dadah," tegas Bolt.
Bolt berkata demikian dalam satu temuramah eksklusif dengan majalah 'Runners World'.
Menurut Bolt, pihak berkuasa olahraga dunia telah menghantar isyarat yang salah kepada para atlet menerusi apa yang telah mereka putuskan dalam kes Tyson Gay.
"Ia seolah-olah berkata, jika anda ditangkap melakukan kesalahan dan mengakuinya tetapi kemudian membuat keputusan untuk menceritakan segala-galanya dan bersedia bekerjasama, kami akan meringankan hukuman anda," sindir Bolt.
Sebaliknya tegas Bolt, isyarat yang betul ialah dengan berkata; "Jika anda menipu dalam karier anda, anda akan disingkirkan dari sukan ini. Itu baru betul."
Gay adalah manusia kedua yang pernah mencatatkan masa terpantas di dunia di belakang Bolt dengan 9.69 saat.
Bolt memegang rekod dunia 100 meter dengan catatan 9.58 saat.
TIGA MASA TERPANTAS DUNIA:
1. Usain Bolt - Berlin 2009 - 9.58 saat
2. Usain Bolt - London 2012 - 9.63
3=. Usain Bolt - Beijing 2008 - 9.69
3=. Tyson Gay - Berlin 2009 - 9.69
3=. Yohan Blake - Lausanne 2012 - 9.69
sumber : mstar
Tiada ulasan: