Header ads

Header ads
» » » Afiq Azmi Semakin Menyerlah, Kedudukan Kedua Penjaring Terbanyak

Kuala Lumpur: Penyerang Selangor Muhammad Afiq Azmi memberi isyarat kepada pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh bahawa dia antara pemain yang perlu diberi perhatian bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 Jun ini selepas meledak hatrik terpantas ketika menewaskan Lions XII 4-0 pada aksi Liga Super kelmarin.

Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam itu, Afiq, 26, hanya mengambil masa 15 minit untuk menyumbat tiga gol sebelum rakan gandingannya Guilherme De Paula menambah satu lagi gol untuk memastikan tiga mata menjadi milik anak buah Mehmett Durakovic yang kekal di puncak liga.
Menurut Afiq yang kini mengumpul tujuh gol, satu gol di belakang penjaring terbanyak liga Dramane Traore dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), ia ibarat mimpi indah untuk mencetak hatrik pertama dalam karier.

“Ini hatrik pertama dalam karier, saya tak sangka, ia seperti dalam mimpi. Tapi, saya tidak boleh melakukannya tanpa bantuan kawan-kawan. De Paula sebenarnya membuka ruang untuk saya kerana apabila dia membawa bola, dua-tiga pemain akan mengawalnya dan peluang saya agak terbuka di situ,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Sejak menyertai Selangor pada 2013 dari Kelantan, ini musim terbaik dipersembahkan penyerang tinggi lampai itu selepas banyak menghabiskan masa memanaskan bangku simpanan.

Dengan prestasi penyerang berpengalaman skuad kebangsaan seperti Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Safee Sali, Abdul Manaf Mamat kurang menyerlah sepanjang kempen liga ini, mungkin Afiq antara pemain yang boleh diketengahkan oleh Dollah selepas ini.

“Apa yang saya lakukan ini untuk membuktikan penyerang tempatan juga boleh menjaringkan gol, bukan hanya pemain import. Setakat ini saya fokus bersama Selangor dulu terpulang kepada jurulatih Dollah untuk membuat keputusan. Tapi, kalau saya dipanggil, saya sentiasa bersedia,” katanya yang tidak pernah menyarung jersi kebangsaan.

Sementara itu bagi Durakovic, Afiq boleh membuatkan Dollah ‘pening kepala’ untuk memilih pemain bersama Harimau Malaya jika pemainnya itu terus konsisten menjaringkan gol.
“Afiq perlu menunjukkan permainan yang baik dan menjaringkan gol. Tiada siapa boleh menafikan peluangnya untuk bersama skuad kebangsaan jika dia terus bermain seperti ini. Bukan mudah untuk Afiq masuk ke dalam skuad kebangsaan, tapi Dollah pasti ‘pening kepala’ jika dia terus bermain dengan baik,” katanya.

Mengulas prestasi Red Giants yang kini memimpin liga dengan 17 mata selepas 8 perlawanan, pengendali itu berkata: “Jauh lagi perjalanan untuk kami membicarakan soal memenangi liga. Kami perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan, tapi kami gembira dengan kedudukan pasukan ketika ini.”

About Nobody

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Catatan Terbaru
»
Previous
Catatan Lama

Tiada ulasan:

Leave a Reply