PENGARAH Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen optimis penyatuan kembali bekas beregu emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mampu mengembalikan zaman kegemilangan mereka sebagai beregu No. 1 dunia.
Katanya, kedua-dua pemain tersebut masih mempunyai kualiti serta semangat juang yang tinggi selain mereka perlu melakukan sesuatu di luar kebiasaan di pentas kejohanan, sekali gus kembali menjulang nama mereka di bibir peminat sukan dunia.
“Apabila mereka tidak terikat dalam mana-mana persatuan, saya percaya tekanan yang dihadapi juga akan berkurangan. Ia secara tidak langsung akan menambahkan fokus mereka menentang lawan di gelanggang.
“Berdasarkan kualiti yang ada pada mereka, saya percaya mereka mampu menjadi regu No. 1 dunia suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan, bekas pasangan regu No. 1 dunia itu kembali bersatu dan bersedia untuk beraksi di pentas antarabangsa sebagai pasangan profesional negara selepas mendapat penajaan berjumlah RM2 juta daripada sebuah syarikat pemaju hartanah, Seri Mutiara Development Sdn. Bhd. (SMDSB) untuk tempoh dua tahun.
Gandingan yang pernah mengharumkan nama negara selepas meraih pingat emas Sukan Asia 2006 itu akan dibimbing bekas pemain negara, Lee Wan Wah dan Chew Choon Eng sebagai jurulatih bagi memburu slot ke Sukan Olimpik di Brazil tahun depan.
Mengulas lanjut, Frost juga memberi bayangan bahawa sekembalinya beregu tersebut dalam kancah sukan badminton dunia, ia juga akan mengurangkan tekanan kepada beregu negara selepas ini.
“Selalunya hanya satu beregu yang kita harapkan untuk mencipta kejutan dalam mana-mana kejohanan. Saya percaya sekembalinya Kien Keat-Boon Heong ke gelanggang ia secara tidak langsung akan mengurangkan tekanan kepada pemain lain, terutamanya pemain baharu,” jelasnya.
Tiada ulasan: