SUBANG: Jadual perlawanan Liga Super pada 2 dan 6 Jun ini mungkin terpaksa dipinda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika mahu melihat skuad Harimau Malaya mempunyai tempoh persiapan cukup menjelang sepak mula Kelayakan Piala Dunia 2018 merangkap Kelayakan Piala Asia 2019 pada 11 Jun ini.
Jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berkata, dia memerlukan tempoh persiapan sekurang-kurangnya dua minggu bagi memastikan pasukan tidak sekali lagi menerima aib selepas dibelasah 6-0 oleh pasukan ranking ke-96 dunia, Oman pada aksi persahabatan antarabangsa, 26 Mac lalu akibat tempoh latihan terlalu singkat.
"Inilah masalahnya. Saya sepatutnya minggu ini akan berbincang dengan pegawai-pegawai FAM untuk kita melihat apa percaturannya sama ada perlawanan Liga Super terpaksa diawalkan atau sebaliknya.
"Ini supaya kita dapat memanggil pemain sekurang-kurangnya dua minggu," kata Dollah ketika ditemui selepas sidang media di The Saujana Hotel, di sini, hari ini.
Sidang media itu sempena pengumuman perlawanan persahabatan Pilihan Malaysia kendalian Dollah bertemu kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham di Stadium Shah Alam, 27 Mei ini.
"Ada orang cakap, kenapa saya tak panggil pemain import untuk bertemu Tottenham kerana ia menggunakan nama Pilihan Malaysia. Tapi ini saja perlawanan saya ada untuk membolehkan pemain kebangsaan menyesuaikan diri dan membina pasukan sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia," jelas Dollah.
Pengendali berusia 52 tahun itu turut tiada masalah untuk melepaskan pemain yang berusia 23 tahun dan ke bawah membarisi skuad B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee beraksi di Sukan SEA 2015 di Singapura bermula 29 Mei ini.
Antara mereka adalah dua pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Akram Mahinan dan Che Rashid Che Halim yang dipanggil kali pertama oleh Dollah ketika bertemu Oman.
"Saya akan duduk berbincang dengan Kim Swee. Tiada masalah besar bagi saya kerana kami boleh berunding dan saya pun akan bertolak ansur," kata Dollah.
Pada sidang media sama, Dollah turut mendedahkan bahawa dirinya pernah menjadi penyokong Tottenham sebelum ini dengan pemain yang menjadi idolanya ialah Glenn Hoddle, pemain tengah kelab itu dari tahun 1975 hingga 1987 yang juga bekas pengurus England dari tahun 1996 hingga 1999.
"Sejak zaman sekolah lagi saya sokong Tottenham dan memang mengikuti perkembangan pasukan ini terutama Hoddle. Tapi sekarang tidak lagi, saya tidak sokong mana-mana pasukan, hanya minat melihat pemain-pemain tertentu beraksi. Saya lebih sukan tengok individu," jelasnya.
Tiada ulasan: