Selepas menang bergaya 2-0 mengatasi Pahang dalam saingan Piala Sumbangsih tempoh hari, skuad Bojan Hodak membawa harapan negara dalam saingan Liga Juara-Juara Asia dengan perlawanan pertama mereka bertemu Bengaluru FC menyaksikan JDT menang 2-1. Perlawanan tersebut merupakan satu daripada tiga perlawanan kelayakan bagi pasukan JDT sebelum layak ke saingan utama Liga Juara-Juara Asia.
JDT bermula garang dengan hampir saja membuka tirai gol seawal minit ke-6 melalui tandukan yang dilakukan oleh pemain mereka namun tersasar dari gawang gol pihak lawan.
Skuad Harimau Selatan hampir saja dikejutkan dengan tandukan John Johnson pada minit ke-23 namun tandukannya hanya sekadar menggegar palang JDT.
Pada minit ke-31 pula Safiq Rahim mensia-siakan peluang keemasan untuk mendahului apabila gagal menyudahkan peluang yang terhidang. Tamat separuh masa, kedudukan kekal tanpa jaringan.
Bermula babak kedua, Haris Harun yang tidak dikawal tidak menunggu lama bagi menyudahkan sepakan sudut Nazrin Nawi dengan melakukan tandukan kemas yang terus menerjah ke gawang gol Bengaluru FC.
Seminit kemudian Diaz yang dimasukkan pada separuh masa kedua berpeluang menambah jaringan namun percubaannya berjaya diselamatkan.
Kesilapan komunikasi antara Nazrin Nawi dan Safiq pada minit ke-68 hampir saja dihukum Bengaluru FC namun serangan balas mereka tidak berjaya membuahkan hasil.
Menghampiri babak terakhir kelekaan JDT dihukum Bengaluru FC apabila jaringan minit ke-90 Lyngdoh menyamakan kedudukan dan memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Pada masa tambahan, pemain sayap JDT S. Chanturu menambah jaringan dan meletakkan JDT mendahului pada minit ke-96.
Tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sehingga tamat perlawanan. Perlawanan berkesudahan JDT 2-1 Bengaluru FC. JDT akan bertemu Bangkok Glass pada pertemuan seterusnya.
Tiada ulasan: